Pages

Subscribe:

Labels

31 May 2013

BIKERS KENTAL KUTIP RM 1.5 JUTA DALAM 6 HARI , SEKUEL FILEM AKAN DIBUAT ??




Pengarah Helmi Yusof akui teruja apabila filem pertama arahannya iaitu Bikers Kental berjaya mencatat jumlah kutipan sebanyak RM 1.1juta, selepas empat hari ianya ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Lebih-lebih lagi apabila filem usahasama Calif Works Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd/Tayangan Unggul ini terpaksa bersaing hebat dengan filem antarabangsa seperti The Fast And The Furious 6. Terbaru, Bikers Kental dilaporkan telah mencatatkan jumlaj kutipan sebanyak RM1.5 juta selepas 6 hari ia ditayangkan di pawagam.

Pun begitu, biarpun jumlah kutipan dilihat cukup penting, namun sebagai pengarah baru, Helmi Yusof lebih mengambil kira penerimaan umum terhadap karya sulungnya yang dibarisi penghibur pujaan ramai iaitu Zizan Razak dan rocker Awie sebagai teraju utama.

"Mengenai kutipan sudah pastinya saya cukup gembira dan bersyukur. Selepas empat hari ditayangkan Bikers Kental telah mencatatkan kutipan tinggi iaitu RM 1.1 juta sehingga Ahad lalu. Perkara ini bukan kejayaan saya sahaja tetapi semua krew dan individu yang terlibat dalam Bikers Kental.

"Kejayaan kutipan ini turut membuktikan bahawa penonton filem di negara ini masih menyokong karya pengarah tempatan jika ia tampil dengan pengisian berbeza dan menjanjikan kelainan kepada mereka yang menonton.

"Manakala saya pula yang pertama kali mengarah mengharapkan kejayaan ini dapat membuka mata penerbit dan production house yang ada di Malaysia ini bagi meraih kepercayaan mereka melalui kejayaan karya sulung saya ini,"ujar Helmi Yusof yang juga suami kepada aktres Dira Abu Zahar ketika dihubungi bagi mengulas tentang filem arahannya itu, semalam.

Selain daripada itu, Helmi yang mempunyai pengalaman luas dalam pembikinan filem tempatan telah menggabungkan pengalamannya selama berkhidmat sebagai pengarah fotografi untuk beberapa pengarah besar negara termasuklah ilmu yang dipelajarinya dalam bidang perfileman untuk memperhebatkan lagi penghasilan Bikers Kental.

"Syukur ,Alhamdulillah bila mana percaturan saya dalam menggabungkan pengalaman dan ilmu itu membuahkan hasil. Dalam pada itu ia juga disebabkan oleh konsep filem ini yang dekat dengan jiwa saya yang meminati dunia permotoran berkuasa tinggi.

"Jadi segala-galanya lebih mudah untuk dilaksanakan. Percubaan pertama saya memang saya dah tetapkan untuk hasilkan filem yang berkisar mengenai minat saya. Jadi Bikers Kental telah merealisasikan impian saya itu,"ujar lulusan Diploma dari Akademi Filem Malaysia itu yang turut melabelkan Afdlin Shauki sebagai sifunya dalam bidang pengarahan.

Ditanyakan mengenai target kutipan untuk Bikers Kental, Helmi tidak mahu memberikan sebarang jumlah kerana selagi filem yang dihasilkan mendapat sambutan serta balik modal ia sudah memadai. Mengenai target dia menyerahkan kepada pihak penerbit untuk meletakkan sasaran kutipan mereka.

Begitu juga dengan sambungan filem Bikers Kental menurut Helmi, daripada pihaknya mereka telah bersiap bersedia dengan jalan cerita jika ada permintaan daripada penerbit untuk membuat sekuel filem ini.

26 May 2013

FAST & FURIOS 6 LEBIH AKSI , BERDEPAN KAPAL TERBANG & KERETA KEBAL




Bagi anda yang mengikuti francais Fast And The Furious, kehadiran sekuel keenam filem ini sememangnya dinanti-nantikan. Apatah lagi, seawal Februari 2010, pelakon dan juga penerbit Vin Diesel telah mengumumkan bahawa perancangan untuk filem keenam dalam francais telah dimulakan.
Bagaimanapun penggambaran filem arahan Justin Lin ini hanya bermula pada Julai 2012 di London, England.

Mengekalkan barisan pelakon utama francais terdahulu seperti Vin Diesel, Paul Walker, Jordana Brewster, Tyrese Gibson, Chris Bridges, Matt Schulze, Sung Kang, dan Dwayne Johnson, filem kali ini turut menampilkan pesaing baru seperti Luke Evans, Joe Taslim, serta kehadiran semula Michelle Rodriguez.
Menariknya, tidak hanya memaparkan babak perlumbaan kereta semata-mata, siri kali ini ibarat ‘buku bertemu ruas’ apabila geng Dominic akan bertemu lawan yang setanding.
Apatah lagi, Dom yang berperang dengan emosi sendiri apabila melihat wanita yang dicintai dan disangka telah mati iaitu Letty, bersama-sama dengan Shaw – musuh yang ingin dijejakinya.
Sejak dari mula lagi penonton akan disajikan dengan perlumbaan kereta yang hebat. Bukan sahaja dengan kereta-kereta mewah, bahkan kereta yang telah diubah suai seperti kereta lumba di litar. Perlumbaan dahsyat itu lah yang akan membuatkan penonton ngeri dengan setiap perlanggaran dan pertempuran yang dihadapinya.
Pertarungan dengan kapal terbang
Tidak hanya pertempuran kereta, penonton juga akan disajikan dengan pertempuran antara kereta dan kapal terbang, yang tentunya lain daripada yang lain. Tentunya, penonton sudah biasa melihat perlumbaan kereta dengan trailer atau lori, tetapi perlumbaan antara kereta dan kapal terbang, serta pertempuran yang berlaku saat kapal terbang tersebut hendak berlepas adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat.
Biarpun terasa landasan tersebut terlalu panjang, namun setiap detik yang berlalu semasa pertempuran dan usaha geng Dominic menyelamatkan cip tersebut akan membuatkan penonton terasa debarannya.
Kembali ke jalanan
Kisah Fast and Furious 6 bermula selepas peristiwa Fast Five. Penjenayah profesional Dominic Toretto dan krewnya kini kaya-raya tetapi rekod jenayah mereka menjadi penghalang untuk pulang ke negara kelahiran sendiri.
Sehinggalah ditawarkan peluang oleh agen US Diplomatic Security Service Luke Hobbs yang berjanji akan membersihkan rekod mereka sebagai balasan untuk menumpaskan sebuah kumpulan pemandu upahan yang diketuai Owen Shaw.
Shaw merupakan seorang bekas pegawai special forces British. Orang kanannya adalah Letty Ortiz, kekasih Dominic yang diingatkan telah meninggal dunia.
Fast and Furious 7?
Tidak menunggu lama untuk memberi bayangan mengenai sekuel ketujuh filem ini, Diesel yang turut memberikan bayangan mengenai sekuel seterusnya telah menyelitkan sedikit babak Fast and Furious 7 pada pengakhiran filem ini.
Bagaimanapun, disebabkan masalah cuaca di lokasi-lokasi penggambaran, produksi untuk filem ketujuh hanya akan bermula selepas berakhirnya Fast & Furious 6. Tetapi bukan lagi di bawah arahan Lin, tetapi tugas tersebut difahamkan akan diserahkan kepada James Wan, anak kelahiran Kuching, Sarawak yang terkenal dengan filem seram Saw.
Justeru, bagi melihat hasil terakhir Lin, jangan lupa saksikan filem Fast and Furious 6 di pawagam.
- SINAR HARIAN

25 May 2013

BIKERS KENTAL MEMANG BEST , JALAN CERITA YANG MENARIK




Biarpun berdepan masalah komunikasi dengan pihak negara Thailand ketika menjalani penggambaran sekitar Mei tahun lalu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pengarah baru, Helmi Yusof untuk menyelesaikan baki filem Bikers Kental.
Namun dalam kesukaran itu, ia seakan berbayar dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang perjalanan konvoi artis dan krew dari Kuala Lumpur ke Krabi, Thailand.
“Sepanjang penggambaran kembara bermotosikal ini, masalah kerosakan motosikal dan kesesakan lalu lintas turut menjadi faktor kesukaran kami bekerja.


“Malah pihak produksi dimarahi oleh pengguna jalan raya akibat kesesakan yang berlaku semasa berlangsungnya penggambaran. Tapi pada saya, ia sebahagian daripada pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.
Tidak sekadar menjalani penggambaran di Krabi, filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd turut menjalani penggambarannya di sekitar Hatyai dan Sadao, Thailand. Malah sebanyak sembilan motosikal berkuasa tinggi seperti Aprilia RSV4, Aprilia tuono, Aprolia Mana, Harley-Davidson Dyna, Sportster XR1200x dan Naza Blade di bawa ke negara tersebut.
Filem merupakan cetusan idea pengarahnya sendiri yang sangat meminati motosikal berkuasa tinggi menampilkan pelakon seperti, Zizan Razak, Awie, Harun Salim Bachik, Bront Palarae, Amerul Affandi, Sufian Mohamed serta dua pelakon wanita Thailand iaitu Pornwipa Watcharakaroon dan Julangtip Sukkasem.
Menariknya, plot penceritaan filem ini mungkin menjadi senario baru dalam industri perfileman apabila 50 peratus jalan cerita membabitkan pengalaman konvoi mereka.
Plot menarik
Tidak sekadar aksi konvoi motosikal berkuasa besar, Helmi turut menyelitkan dialog dan babak menarik daripada Zizan sebagai Bidin Al Zaifa. Dia yang selama ini gemar bercakap besar dan meminati motor berkuasa tinggi, akhirnya melalui sendiri perjalanan yang sebenarnya amat memenatkan.
Lebih lucu apabila dia yang memakai sut penuh berjenama, terpaksa memerah baju akibat peluh sepanjang perjalanan tersebut. Tidak sekadar memaparkan perjalanan mereka, Helmi turut menyelitkan babak Bidin yang menjadi buruan penjenayah kerana ‘mencuri’ duit mereka.
Apatah lagi melihat seorang penjenayah yang penyabar dan seorang lagi pula begitu tidak sabar untuk membunuh Bidin. Begitu juga pertemuannya dengan gadis tempatan yang akhirnya membuahkan rasa cinta Bidin, sehingga sanggup mensabotaj perjalanan rakan yang lain demi memikat hati gadis tersebut.
Tidak banyak yang perlu diperkatakan dari aspek sudut kamera dan juga pencahayaan kerana sebelum menjadi pengarah, Helmi terlebih dahulu terlibat dengan kerja belakang tabir. Justeru, banyak sudut-sudut dan teknik menarik yang ada dalam filem ini dan membuatkan penonton tidak akan bosan, biarpun hanya melihat perjalanan konvoi mereka sahaja.


Pengembaraan Bidin
Bidin Al Zaifa ialah seorang anak muda yang mempunyai minat mendalam terhadap motor berkuasa besar. Dia bekerja di sebuah garaj motor milik abang sepupunya, Aidil Al Zaifa. Bidin mempunyai satu impian, iaitu menunggang motosikal besar dari Kuala Lumpur terus ke Thailand. Walaupun bersikap cuai, Bidin amat disenangi dan disukai orang ramai.
Bidin diberi peluang untuk berkonvoi bersama geng motosikal Eddie Cuardo, yang merupakan salah seorang pelanggan garaj Aidil. Pengembaraan Bidin bersama Eddie Cuardo dipenuhi pelbagai kisah tragedi dan konflik di antara mereka berdua serta, 2 orang gadis Thailand, Saiya Sukhaporn dan rakannya Cherry Porntit yang mereka jumpa ketika konvoi.
- SINAR HARIAN

*** AZ  dah tengok filem ini pada malam kedua tayangan ...memang best citernya yang mengisahkan  pengalaman seorang BIKERS di negara asing ... harap ada lagi sambungan Bikers Kental 2 ..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...