Pages

Subscribe:

Labels

29 Mar 2012

Samsung Note bantu pelukis hasilkan karikatur




DALAM era pemodenan yang dikecapi hari ini, pelbagai peranti dan aplikasi canggih dibangunkan untuk menawarkan kemudahan kepada manusia sejagat. Kecanggihan teknologi yang ditonjolkan peranti dan aplikasi tersebut bukan sahaja membantu dalam melancarkan kehidupan seharian orang ramai malah memberi sinar baharu kepada pengkarya seni.

 Terbaharu, syarikat gergasi Samsung yang memperkenalkan Galaxy Note memberi pilihan terbaharu kepada pengkarya seni untuk menghasilkan karya mereka dengan lebih mudah dan pantas. Dijana sistem operasi Android 2.3 Gingerbread, peranti itu dilengkapi paparan skrin 13.5 sentimeter (sm) Super Amoled definisi tinggi (HD) yang membolehkan pelukis karikatur menghasilkan lukisan mereka tanpa menggunakan kertas ataupun kanvas.

 Pelukis karikatur, Nordin Yusoff, 45, berkata, perkembangan teknologi terutamanya yang ditonjolkan dalam peranti telefon pintar seperti Samsung Galaxy Note dapat membantu pengkarya seni.

 “Dengan menggunakan S Memo dan pen stylus (S Pen) yang terdapat di dalam peranti ini, saya dapat menghasilkan lukisan karikatur di mana-mana sahaja. “Paparan skrin yang luas dan jelas turut membantu dalam ketelitian karya karikatur secara digital,” katanya ketika ditemui Kosmo! semasa mengadakan Samsung Galaxy Note Studio di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 Nordin menambah, peranti berkenaan membenarkan dia memilih pelbagai jenis pen, berus, pensil dan pen marker mengikut kesesuaian karya yang ingin dihasilkan. Lelaki yang lebih dikenali dengan nama Ambo itu berkata, dia juga boleh melaras saiz dan ketebalan garisan yang digunakan semasa melukis sekali gus memudahkan lagi proses lorekan.

 “Teknologi yang ditawarkan peranti ini turut membenarkan pelukis-pelukis memilih warna pilihan mereka. “Selain daripada itu, saya boleh mewarnakan latar belakang dengan lebih pantas kerana tidak perlu menggunakan pelbagai jenis berus,” katanya. Ambo menjelaskan, penelitian dapat dilakukan dengan menggunakan peranti tersebut apabila ia didatangkan bersama ciri pinch dan zoom (untuk mengecil atau membesarkan pandangan gambar).

 Sebagai pelangkap kepada semua fungsi tersebut, terdapat pelbagai pilihan efek yang boleh dipilih bagi menyerlahkan warna dan hasil akhir lukisan. Kelebihan Dia memberitahu, penggunaan teknologi dalam menghasilkan karikatur dapat membantu apabila melakukan kesilapan. Sebagai contoh dia berkata, hanya perlu menekan buat asal (undo) untuk memastikan kesilapan tersebut hilang sekelip mata. PAPARAN skrin yang luas dan jelas membantu pelukis karikatur menghasilkan karya dengan baik.

 “Berbanding kaedah konvensional, ia akan memakan masa yang lebih panjang untuk membaiki kesilapan pada karikatur tersebut. Bagaimanapun, saya masih berasa kekok semasa menggunakan peranti ini dan perlu membiasakan diri,” ujarnya.

 Dalam pada itu, seorang lagi pelukis karikatur, Olyhairy Othman, 28, memberitahu, dia merasakan Galaxy Note dapat memberi kebebasan kepada pelukis seperti dirinya. “Saya banyak bergerak untuk menghasilkan karikatur terutamanya apabila menghadiri acara-acara umum ataupun persendirian. “Justeru, pengenalan peranti yang mempunyai teknologi seperti ini membolehkan pelukis karikatur seperti kami memanfaatkan kemudahan yang membantu melancarkan kerja,” ujarnya.

 Dia yang mempunyai pengalaman selama hampir lima tahun melukis karikatur menambah, gajet berkenaan juga memberi nilai tambah kepadanya. Sebagai contoh, hasil akhir boleh dipindahkan terus kepada pelanggan dengan menggunakan teknologi Bluetooth. Setelah itu, pelanggannya boleh mencetak hasil lukisan tersebut pada bila-bila masa sahaja.

 Bagi seorang lagi seniman berbakat, Ramza Hurin, 42, telefon pintar berkenaan dapat membantu menjimatkan kos menghasilkan karya karikatur. Dia menambah, penggunaan peranti berkenaan dapat membantu dari segi pembelian bahan dan peralatan seperti warna, berus dan pen. “Kita juga tidak perlu menggunakan ataupun menukar kertas apabila berlaku kesilapan. “Menilai dari sudut yang lebih luas, kelebihan itu sekali gus dapat membantu memulihara alam sekitar yang diancam perubahan iklim global,” katanya.

 Kebebasan berkarya Sementara itu, Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon, berkata, telefon pintar Galaxy Note memberi kebebasan artistik kepada pengguna.

 “Peranti ini seumpama buku nota kertas tetapi dilengkapi teknologi dan perkhidmatan ditawarkan telefon pintar Samsung. “Ia membenarkan pengguna menyunting, menghasilkan karya dan berkongsi idea dengan mudah serta pantas,” ujarnya.


Jae Hoon memberitahu, S Pen yang didatangkan bersama Galaxy Note mempunyai fungsi terkini untuk memberikan pengalaman baharu kepada pengguna. Tambahnya, pengguna boleh menggunakan pen digital tersebut untuk melakar dan menghasilkan karya dengan bebas.

 Selain daripada membantu penggiat dunia seni, Samsung turut menjalin kerjasama kreatif dengan penyanyi terkenal tanah air Yunalis Zarai atau Yuna dalam The Sparkle Project. Projek berkenaan akan memperlihatkan pembikinan video muzik pertama menggunakan peranti Samsung Galaxy Note sempena judul lagu terbaharu Yuna iaitu Sparkle.

 “Saya tidak sabar untuk melihat video muzik yang bakal dirakam sepenuhnya menggunakan peranti berkenaan. “Pada masa sama, saya berasa amat teruja dan ingin melihat bagaimana mereka menghasilkan video muzik ini,” kata penyanyi berusia 24 tahun itu.

 Yuna memberitahu, Galaxy Note merupakan peranti yang serba lengkap dan membenarkan meneroka dunia kreatif. Katanya, ia seumpama membawa 10 peranti dalam satu apabila boleh mendengar muzik, menonton video, merakam imej, melayari Internet dan pelbagai lagi tugasan. “Selain daripada itu, ia yang dilengkapi S Pen yang membenarkan pengguna melukis, menyunting imej daripada laman web dan melukis pada video.

 “Dengan reka bentuk yang nipis dan ringan, ia memudahkan saya membawa peranti ini terutamanya ketika mengembara,” ulasnya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...