Pages

Subscribe:

Labels

31 May 2013

BIKERS KENTAL KUTIP RM 1.5 JUTA DALAM 6 HARI , SEKUEL FILEM AKAN DIBUAT ??




Pengarah Helmi Yusof akui teruja apabila filem pertama arahannya iaitu Bikers Kental berjaya mencatat jumlah kutipan sebanyak RM 1.1juta, selepas empat hari ianya ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Lebih-lebih lagi apabila filem usahasama Calif Works Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd/Tayangan Unggul ini terpaksa bersaing hebat dengan filem antarabangsa seperti The Fast And The Furious 6. Terbaru, Bikers Kental dilaporkan telah mencatatkan jumlaj kutipan sebanyak RM1.5 juta selepas 6 hari ia ditayangkan di pawagam.

Pun begitu, biarpun jumlah kutipan dilihat cukup penting, namun sebagai pengarah baru, Helmi Yusof lebih mengambil kira penerimaan umum terhadap karya sulungnya yang dibarisi penghibur pujaan ramai iaitu Zizan Razak dan rocker Awie sebagai teraju utama.

"Mengenai kutipan sudah pastinya saya cukup gembira dan bersyukur. Selepas empat hari ditayangkan Bikers Kental telah mencatatkan kutipan tinggi iaitu RM 1.1 juta sehingga Ahad lalu. Perkara ini bukan kejayaan saya sahaja tetapi semua krew dan individu yang terlibat dalam Bikers Kental.

"Kejayaan kutipan ini turut membuktikan bahawa penonton filem di negara ini masih menyokong karya pengarah tempatan jika ia tampil dengan pengisian berbeza dan menjanjikan kelainan kepada mereka yang menonton.

"Manakala saya pula yang pertama kali mengarah mengharapkan kejayaan ini dapat membuka mata penerbit dan production house yang ada di Malaysia ini bagi meraih kepercayaan mereka melalui kejayaan karya sulung saya ini,"ujar Helmi Yusof yang juga suami kepada aktres Dira Abu Zahar ketika dihubungi bagi mengulas tentang filem arahannya itu, semalam.

Selain daripada itu, Helmi yang mempunyai pengalaman luas dalam pembikinan filem tempatan telah menggabungkan pengalamannya selama berkhidmat sebagai pengarah fotografi untuk beberapa pengarah besar negara termasuklah ilmu yang dipelajarinya dalam bidang perfileman untuk memperhebatkan lagi penghasilan Bikers Kental.

"Syukur ,Alhamdulillah bila mana percaturan saya dalam menggabungkan pengalaman dan ilmu itu membuahkan hasil. Dalam pada itu ia juga disebabkan oleh konsep filem ini yang dekat dengan jiwa saya yang meminati dunia permotoran berkuasa tinggi.

"Jadi segala-galanya lebih mudah untuk dilaksanakan. Percubaan pertama saya memang saya dah tetapkan untuk hasilkan filem yang berkisar mengenai minat saya. Jadi Bikers Kental telah merealisasikan impian saya itu,"ujar lulusan Diploma dari Akademi Filem Malaysia itu yang turut melabelkan Afdlin Shauki sebagai sifunya dalam bidang pengarahan.

Ditanyakan mengenai target kutipan untuk Bikers Kental, Helmi tidak mahu memberikan sebarang jumlah kerana selagi filem yang dihasilkan mendapat sambutan serta balik modal ia sudah memadai. Mengenai target dia menyerahkan kepada pihak penerbit untuk meletakkan sasaran kutipan mereka.

Begitu juga dengan sambungan filem Bikers Kental menurut Helmi, daripada pihaknya mereka telah bersiap bersedia dengan jalan cerita jika ada permintaan daripada penerbit untuk membuat sekuel filem ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...