Pages

Subscribe:

Labels

6 Nov 2011

Cara memilih calon isteri



Tahukah anda wahai insan bergelar wanita, betapa sukarnya pada masa ini untuk mencari seorang individu dari kalangan anda untuk dijadikan seorang isteri yang benar-benar solehah iaitu yang baik aspek agamanya. Lalu, sang lelaki kebanyakannya menghadapi kesukaran untuk membuat pilihan antara wanita yang kebanyakan atau harus terus menunggu dalam usaha pencarian wanita solehah sehingga memakan masa yang panjang. Kerana lamanya menunggu kelibat wanita solehah. Kemungkinan wanita solehah ini duduknya sememangnya sentiasa di rumah agaknya. Hakikatnya itulah yang terbaik sebenarnya.

Berikut adalah merupakan sedikit perkongsian yang telah saya selidiki dan perolehi daripada beberapa buah buku yang mana dengan harapan boleh dijadikan rujukan sama ada buat si pemuda atau perempuan umumnya.

Kepada si lelaki, mungkin tulisan ini mampu menjadi rujukan dalam usaha membuat penilaian terhadap karektor seorang wanita yang baik yang harus dipilihnya.

Manakala, bagi seorang perempuan, mungkin boleh dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki diri agar anda sentiasa tergolong dalam rangkaian dan barisan wanita yang solehah dan bakal dipilih oleh juga pemuda yang soleh. insyaALLAH.. .

Dalam persoalan ini, apabila seorang pemuda telah menemukan atau hendak menemukan seorang calon isteri yang dipandangnya sepadan dan berkenan di hati, hendaklah ia memeriksa sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang ada padanya. Janganlah kita hanya memfokuskan semata-mata kepada karektor duniawi, kekayaan, kecantikan dan kedudukan. Kerana di dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w., seseorang wanita itu sebaiknya dipilih untuk dinikahi adalah kerana berdasarkan agamanya yang baik dan bukannya karena karektor selainnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:


“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/ keturunannya, karena kecantikannya dan keranan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Ini kerana, dengan karektor agama yang baik inilah sebenarnya ia mencakupi segala faktor-faktor yang lainnya. Dengan aspek agama yang baik ini, keindahan akhlaknya terserlah, kecantikannya terjaga dan terpelihara, malahan martabat dan kehormatannya berbanding wanita di kancah masyrakat kebanyakan juga tinggi nilainya.

Secara umumnya, mereka yang baik agamanya dan lebih taqwanya adalah mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah s.w.t.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu...” (al-Hujuraat 49: 13)

Sahabat-sahabat yang saya sayangi, di sini ingin saya nyatakan bahawa faktor atau aspek kecantikan itu bukanlah tidak diperlukan. Tetapi yang ingin saya maksudkan adalah janganlah sehingga kita membataskan semata-mata keinginan kita kepada kecantikan, kerana ia bukanlah prinsip yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam persoalan pemilihan pasangan Isteri.

Dalam hal ini, Sheikh al-‘Azim Abad di dalam kitab ‘Annul Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, ada menyatakan bahawa yang sewajarnya dipilih adalah wanita yang baik agamanya dan memiliki adab yang baik agar kelak berupaya menjadi pertimbangan kepadanya dalam pelbagai urusan kehidupan, terutamanya dalam urusan rumahtangga. Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. memerintahkan supaya mencari wanita beragama yang merupakan puncak kepada pencarian (keutamaan pilihan).

Dengan merujuk pula kepada firman Allah s.w.t. berikut:

“Maka wanita yang solehah, ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)." (Surah an-Nisaa’ 4: 34)


Sufyan ats-Tsauri berkata (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dalam Tafsirnya (5/38) dengan sanad yang shahih): Kalimah “Qaanitaat” membawa maksud wanita yang taat kepada Allah dan kepada suaminya.”

Nabi pernah ditanya tentang sebaik-baik wanita, yang mana Baginda bersabda:

“Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya.” (Hadits bertaraf sahih, diriwayatkan oleh imam Ahmad (4/341))

Bertepatan dari anjuran hadis Rasulullah ini, maka keutamaan kita dalam memilih calun isteri adalah menjurus kepada wanita yang baik urusannya dalam menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya, sama ada ketika berada di sisi suami, keluarga ataupun di ketika waktu ketiadaan suaminya, secara zahir dan batin yang didasari hati yang bersih serta suci lantaran kesan pegangan agamanya.

Dari kalangan tabi’in, Qatadah bin Di’aamah As-Saduusi pula berkata: “(Wanita yang septutnya menjadi pilihan) Adalah yang menjaga apa-apa yang telah Allah serahkan agar dijaga dari hak-hak suaminya. Menjaga dirinya saat suaminya tidak berada di sisinya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (5/39) dengan sanad yang shahih)

Telah disebutkan di atas tentang sifat sebaik-baik wanita iaitu,

“Serta menjaga diri dan harta suaminya.”

Abdullah bin Amru r.a. berkata: “Mahukah kalian aku beritahu tentang tiga jenis manusia yang celaka:

(iaitu) Imam yang zalim, bila engkau berbuat baik kepadanya ia tidak berterima kasih, jika engkau berbuat salah kepadanya ia tidak memaafkan. Tetangga/jiran yang jahat, jika ia melihat kebaikan padamu ia tutup-tutupi, jika melihat keburukan padamu ia menyebarkannya. Isteri yang buruk tabiatnya, jika engkau berada di sisinya ia membuatmu gusar/tidak senang. Dan bila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al-Mushannaf (3/559) dengan sanad yang shahih)

Seterusnya, carilah wanita yang memiliki sifat-sifat yang penyayang. Semua ini mampu memberi infect atau kesan yang baik kepada anak-anak kelak serta kepada hati suami yang utamanya. Dalam hal ini,

Nabi s.a.w bersabda: “Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kalian yang banyak di hadapan umat-umat lain pada hari Kiamat.” (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Khathib al-Baghdaadi dalam Tarikh Baghdad (12/377))

“Sebaik-baik wanita yang menunggang unta adalah wanita-wanita yang solehah dari suku Quraisy, mereka adalah wanita yang paling sayang kepada anak-anak sewaktu masih kecil dan yang paling menjaga hak dan harta suami.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhaari (3/240))

Begitulah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri perihal keutamaan sikap penyayang pada seorang wanita. Dengan sifat inilah, anak-anak nantinya mampu dididik dengan baik dan penuh perhatian serta kasih sayang seorang ibu. Di sana, peranan ibu adalah suatu keutamaan yang besar sebagai pendidik awal setiap anak-anak yang dilahirkan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dari sinilah bermulanya jati diri anak-anak dibentuk untuk menjadi manusia yang baik di masa hadapan. Dengan gabungan faktor kesolehan seorang wanita yang di-adun dengan sikap amanah, berilmu dan kasih sayang seorang wanita, sudah pasti sesebuah rumahtangga mampu menjadi suatu medan atau institusi yang berkesan dalam melahirkan masyarakat yang islamic dan berdaya maju dari konteks tauhid, ubbudiyyah, mu’amalah, dan material.

Dari sifat yang penyayang juga, ia berupaya melahirkan sikap yang menyenangkan. Dan kriteria ini jugalah yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam hadisnya tadi, iaitu

“...yang menyenangkan apabila dipandang...”

Peribadi wanita yang bersifat menyenangkan ini apabila dipandang dan bergaul dengannya mampu menjadi penenang dan penunduk hati suami dan keluarga dalam pelbagai urusan rumahtangga. Sifatnya yang elok dipandang mampu mengawal hati suami dan kelak kepada anak-anak untuk sentiasa berperasaan suka dan mendamaikan suasana. Lantas melahirkan satu persekitaran yang harmoni di dalam sesebuah kekeluargaan.

Di samping sifat penyayang dan peribadi yang menyenangkan, faktor untuk mencari wanita yang mampu melahirkan anak yang baik atau faktor kesuburan juga adalah merupakan salah satu kriteria yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

“Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur...”

Dari sudut ini, kelangsungan hidup manusia dan generasi soleh/solehah akan dapat diteruskan melalui kelahiran zuriat-zuriat yang baik. Lantas, dari zuriat yang soleh/solehah (muslim ini) ia berupaya untuk menjaga aspek keturunan dari generasi ke generasi untuk membentuk masyarakat yang menegakkan syari’at Allah, meninggikan agama, memakmurkan alam semesta, dan memperbaiki kehidupan di muka bumi. (Rujuk: Menjaga Kehormatan Muslimah, sheikh Bakr Abdullah Abu Zaid, Daar an-Naba', m/s. 150-151)

Dari sini juga, kita dapat melihat betapa besarnya peranan wanita kepada ummah dan masyarakat sejagat dalam membina ketamadunan dunia. Wanita sebenarnya adalah merupakan akar umbi dan tonggak kepada pelbagai kejayaan generasi manusia.

Jika dilihat kepada sirah di zaman nabi dan para sahabat. Ibu-ibu yang tempatnya di rumah yang mana kefahaman agamanya baik-baik, merupakan faktor yang yang menjadi tonggak kejayaan masyarakat pada zaman itu. Dari didikan seorang wanita yang solehah, lahirnya ramai sekali panglima-panglima perang yang gagah perkasa dan bijaksana dalam mengatur pelbagai strategi ketenteraan. Malah, mampu membina generasi yang handal di medan tempur dan melahirkan para syuhada yang ikhlas dan tulus perjuangannya kepada agama Allah. Dengan didikan para ibulah, lahirnya ramai golongan ulama atau ilmuan tersohor yang sentiasa disebut-sebut namanya sehingga kini.

“Dan para wanita itu mempunyai hak yang seimbang seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang ma’aruf (dan tidak dilarang oleh syara’); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Dari sini juga kita dapat melihat bagaimana terjalinnya hubungan antara kelebihan kaum wanita dengan kekuatan kaum lelaki sehingga keduanya akan saling melengkapi dengan masing-masing diberikan keistimewaan, keutamaan, dan tanggungjawab masing-masing.

“Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Anjuran Rasulullah s.a.w. yang seterusnya adalah difokuskan kepada gadis-gadis yang perawan/dara iaitu yang masih belum pernah berkahwin;

Ini adalah berdasarkan hadis Jabir bin Abdillah, ia berkata: “Aku baru saja menikah.

Lalu Rasulullah bertanya: “Dengan siapa engkau menikah?”

“Dengan seorang janda.” Jawabku.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Mengapa tidak dengan seorang gadis yang boleh engkau dapat bermain-main dengannya dan dia pun dapat bermain-main denganmu.”

Atau dalam riwayat yang lain beliau mengatakan: “Yang ia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira.” (Hadis Riwayat Bukhari (111/240) & Muslim (11/1078))

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, di dalam Syarah Sahih Muslim (10/294): “Hadits ini menjelaskan tentang kelebihan menikahi gadis perawan/dara, dan menunjukkan bahawasanya menurut keutamaan menikahi mereka adalah lebih baik.”

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w., beliau bersabda: “Nikahlah dengan gadis perawan, kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya, dan lebih redha dengan yang sedikit.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, (no. 1861) di dalam kitab an-Nikah)

Dalam persoalan ini, dapat dibezakan di antara wanita yang janda dengan yang gadis kerana mungkin sahaja wanita yang janda ini sudah memiliki anak yang perlu dijagai dan memerlukan lebih perhatian kepada anaknya. Selain itu, mungkin juga dia sudah beberapa kali hamil dan akan memiliki kebarangkalian keletihan untuk hamil lagi dan memiliki hasrat untuk tidak mahu memiliki anak lagi. Mungkin juga ia mampu mengganggu hubungan seksual suami dan isteri kerana kebiasaannya wanita yang berstatus janda tidak cukup dengan hubungan/layanan yang sedikit. Berbeza dengan gadis yang masih belum pernah berkahwin, ia lebih mudah terangsang dan redha dengan layanan yang sedikit. (Rujuk: Indahnya Menikah ‘Ala Sunnah Nabi, Amru Abdul Mun’im Salim, Daar an-Naba’, m/s. 52)

Akhir sekali, suatu yang perlu di-ambil perhatian. Bahawasanya Allah dan Rasul-Nya melarang lelaki ataupun sebaliknya untuk menikahi atau mengahwini pasangan yang terdiri dari kalangan penzina. Tetapi pilihlah wanita yang mulia, suci dan terjaga kehormatannya sebagaimana yang dinyatakan di awal tulisan ini tadi,

“...yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) .” (an-Nisa’ 4: 34)

Persoalan ini juga dijelaskan oleh Allah s.w.t. sebagaimana di dalam firman-Nya yang berikut:

“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” (an-Nuur 24: 3)

Dalam suatu riwayat, sebelum turunnya ayat ini seorang sahabat bernama Abu Martsad al-Ghanawi r.a. datang menemui Rasulullah s.a.w. meminta restu/keizinan untuk menikahi seorang wanita pelacur yang dahulunya semasa jahiliyyah adalah bekas kekasihnya (wanita itu bernama ‘Anaq). Dan sehinggalah turunnya ayat di atas (Surah an-Nuur 24: 3) Rasulullah s.a.w. menjelaskan “Jangan dinikahi wanita itu!” (Diriwayatkan oleh imam yang empat kecuali Ibnu Majah)

Ini antaranya adalah kerana wanita penzina dan pelacur itu boleh mengganggu urusan kebahagian sesebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan pasangan suami isteri. Malah status pelacur/penzina ini sendiri menurut Ibnu Umar r.a. adalah merupakan antara manusia yang celaka sebagaimana riwayat ini (telah dijelaskan di awal tulisan), “wanita yang apabila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.”

Manakala menurut Hasan al-Basri rahimahullah; “Tidaklah halal dinikahi wanita penzina dan wanita simpanan.” (Diriwayatkan oleh Sa’id bin Mashur dalam as-Sunan (5/8) dengan sanad yang sahih)

Adapun begitu, andainya dia (wanita yang awalnya seorang penzina) merupakan dari kalangan wanita yang sudah bertaubat dan sudah meninggalkan perbuatan pelacuran, maka keharaman itu terhilang dan termansuh sebagaimana menurut Abdullah bin Abbas r.a.: “Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (3/529) dengan sanad yang sahih)

Dan daripada firman Allah s.w.t.:

"...kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nuur 24: 5)

Shilah bin Asyyam rahimahullah berkata: “Tidak mengapa menikah keduanya samaada wanita atau pemuda dengan penzina yang telah bertaubat kepada Allah. Allah lebih berhak menerima taubat keduanya. Jika keduanya adalah penzina dan belum bertaubat, maka lelaki yang buruk pasangannya juga adalah dengan wanita yang buruk pula. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi syaibah (3/528) dengan sanad yang sahih)

Sebagai kesimpulan, membuat pilihan calon isteri bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Ia amat berat pada hakikatnya kerana ia bakal menjaga urusan dalam kekeluargaan yang diketuai oleh seorang lelaki bernama suami. Dan bakal menjadi pembimbing anak-anak atau zuriat yang kelak bakal dilahirkan. Kriteria-kriteria yang baik berserta kebijaksanaan dalam pelbagai bidang ilmu tertentu dan persoalan keagamaan perlu dilihat sebagai keutamaan supaya segala perjalanan kehidupan di masa mendatang bakal ter-urus dengan baik dan tersusun. Supaya kelak, kehidupan anda bersama keluarga bakal mengecapi suasana yang aman bahagia dan tenteram. Lantas mampu melahirkan masyrakat yang berhubungan dengan harmoni.

Antara ciri-ciri yang lain bagi calon isteri yang baik secara umum adalah seperti berilmu, sentiasa bersyukur, tahu menjaga hubungan yang baik dengan kaum keluarga kedua belah pihak, memiliki daya kepimpinan terhadap pengurusan rumahtangga dengan baik, memahami kehendak/keperluan suami, batas pergaulannya terjaga, dan sentiasa menjaga penampilan yang baik.

“Kebahagiaan manusia ada tiga: Wanita yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Sedangkan kesengsaraan manusia ialah: Wanita yang buruk (perangainya) , tempat tinggal yang buruk, dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad (1/168), dengan sanad yang sahih)

Dan mereka berkata (berdoa): "Wahai Tuhan kami, anugerahilah kepada kami isteri-iesteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Furqan 25: 74)

Dan sebaik-baik wanita itu adalah mereka yang soleh dalam agamanya, sebagaimana hadis berikut:

“Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ar-Ridha)

InsyaALLAH,

Sumber: KLIK DI SINI 

3 Nov 2011

RM 20 ribu harga kos perkahwinan sekarang , mampukah generasi muda cari sebanyak itu ?




RM40,000! Itulah jumlah duit minimum yang diperlukan oleh pasangan kekasih yang ingin melangsungkan perkahwinan. Jumlah ini adalah untuk kenduri yang dikira sebagai ‘tersangat biasa’. Pecahan perbelanjaan secara kasar adalah seperti berikut :

Item                                       Harga seunit                               Unit Jumlah

Kad jemputan          70 sen      500 keping                                  RM350
Catering                  RM10       1,000 orang                                RM10,000
Door gift                  RM3        1,000 orang                                RM3,000
Sewa dewan                                                                              RM2,000
Jurugambar                                                                                RM2,000
Pelamin                                                                                      RM800
Persalinan pengantin                                                                   RM700
Solekan                                                                                     RM200
DJ                                                                                             RM400
Marhaban                                                                                  RM200
Silat                                                                                           RM200
Jumlah                                                                                      RM19,850


Jumlah kenduri untuk sebelah pihak sahaja sudah hampir mencecah RM20,000. Jika kedua-dua belah pihak jumlahnya adalah RM40,000. Perlu diingatkan kos di atas hanyalah untuk majlis kenduri dan tidak termasuk kos pengangkutan, dulang hantaran untuk majlis pertunangan dan nikah, cincin tunang dan kahwin, mas kahwin, upah jurunikah dan kursus perkahwinan yang dianggarkan sekitar RM5,000 untuk kedua-dua belah pihak.

Seorang graduan yang baru menamatkan pengajian dan baru memasuki alam pekerjaan hanya akan mendapat gaji sekitar RM1,500-RM2,500 sahaja. Setiap bulan mereka perlu menjelaskan pelbagai bil seperti elektrik, air, telefon, hutang kereta, hutang PTPTN, sewa rumah, duit minyak dan tol. Oleh kerana bebanan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar, mereka hanya mampu menyimpan sekitar RM500-RM1,000 sahaja untuk sebulan. Jika kedua-dua pasangan sudah mempunyai pekerjaan, mereka tetap memerlukan masa sehingga 2 atau 3 tahun untuk mengumpul duit.

Bagaimanakah cara untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh golongan muda ini?

Kumpulan 3G - Yassin , Enot , Didie mahu buat penonton ketawa



BERHADAPAN dengan 16 lagi kumpulan yang bertanding bagi merebut gelaran juara Maharaja Lawak Mega (MLM) bukanlah sesuatu yang mudah.

Pun begitu, bagi pasukan yang terdiri daripada dua kuntum bunga dan seekor kumbang ini, keserasian merupakan senjata utama untuk meneruskan langkah. Kalau boleh, sehingga ke peringkat akhir.

Menamakan kumpulan mereka sebagai 3G, Yassin Yahya, Enot dan Didie Alias membuka langkah persembahan pertama mereka dalam MLM Jumaat lalu, dengan penuh keyakinan.

Telatah bersahaja dan ekspresi muka Yassin sudah cukup untuk mengundang penonton tidak kering gusi.
Ini kerana trademark wajah yang selamba milik Yassin merupakan bahan gelak penonton di rumah dan di Royal Theater Selangor di Shah Alam yang mengikuti MLM secara langsung di Astro Warna.
Tidak cukup dengan penampilan Yassin, kebecokan mulut Didie dan Enot turut membuatkan keadaan bertambah bingit apabila ketiga-tiga mereka beraksi di pentas MLM.

Ternyata, ungkapan serasi yang diucapkan oleh mereka dalam persembahan pada malam itu, bukanlah sesuatu yang dibuat-buat tetapi ia benar-benar dapat dirasai oleh penonton.

Bagi Yassin, apa yang dipersembahkan oleh 3G pada malam itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan yang dicapai sesama sendiri.

Mendengarkan kata-kata yang terpacul daripada mulut Yassin, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohammad @ Ali mengangguk-anggukan kepalanya tanda bersetuju dengan pendapat Yassin.

“Jadi, dengan masa yang sangat terhad, kami gunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan apa yang dirancang untuk dipersembahkan kepada penonton, berjalan lancar,” kata Didie bersungguh.

Bagi Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, masa yang diberikan oleh penganjur (tiga minit 30 saat) untuk persembahan merupakan satu cabaran.

Jelasnya, dalam tempoh sesingkat itu, ketiga-tiga ahli 3G perlu menonjolkan diri masing-masing sambil mengekalkan elemen lucu.

3G dengan rendah dirinya memberitahu Hits, mereka tidak meletakkan harapan yang menggunung tinggi untuk bergelar juara MLM sebaliknya lebih senang hadir sebagai peserta berkumpulan yang mampu menggeletek hati penonton.

Yassin muncul kembali

Memulakan langkah sebagai anak seni selepas menyertai pertandingan realiti televisyen Sinaran Passport Kegemilangan pada tahun 1997, nama Yassin lebih sinonim dengan kumpulan lawak nombor satu negara, Senario.
Bertahan hampir 10 tahun di bawah payung Senario, zaman kegemilangan Yassin dilihat berakhir apabila dirinya terpalit dengan gejala negatif.

Agak lama juga, pelakon filem Aku Kaya The Movie (2003) ini berdiam diri namun hari ini, Yassin bangkit di atas pentas MLM bersama kumpulan 3G.

“Saya bersyukur kerana MLM adalah platform untuk saya beraksi bersama Didie dan Enot menghiburkan penonton.

“Terus terang saya katakan di sini bahawa inilah kali pertama kami bergandingan. Oleh itu, kualiti persembahan harus dipertingkatkan dari minggu ke minggu.

“Saya amat berharap peminat dan juga penonton di rumah terhibur dengan persembahan kami dan ingin menyaksikan aksi 3G pada minggu kedua dan seterusnya,” kata Yassin yang juga muncul sebagai side kick kepada Apek dalam filem Duyung (2008).

Yassin mengakui tidak mahu bersikap hipokrit dengan mengatakan kumpulan 3G tidak mensasar salah satu tempat di peringkat akhir.

Katanya, walaupun MLM baru sahaja bermula namun mereka berpandangan jauh.
Katanya, jika 3G dapat mengekalkan momentum persembahan dan muncul pada setiap minggu, itu merupakan satu bonus bagi kumpulan mereka.

Didie bijak bahagi masa

Walaupun baru sahaja pulang dari Korea kerana terbabit dengan rancangan travelog yang dikendalikan oleh Awal Ashaari dan juga Scha Alyahya, Didie bijak mengatur jadual seninya dan mencuri masa untuk menyertai MLM.

Bagi Didie yang terkenal sebagai artis wanita yang kuat bekerja, setiap peluang dan ruang yang datang akan digunakan sebaiknya kerana bidang seni merupakan punca pendapatan beliau selama ini.
Biarpun tidak pernah mengeluh penat namun dia mengakui, perlu pandai mengatur masa agar tidak terlalu terkejar-kejar.

Kata Didie, rezeki pemberian Tuhan kepadanya dan keluarga tidak akan disia-siakan.

“Saya sebenarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Biar Mimpi Sampai ke Bintang.
“Dalam pada itu, saya juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri, Peah Gossip bersama Fasha Sandha.

“Memanglah kalau diikutkan terasa penat tetapi saya suka dengan apa yang saya lakukan sekarang ini. Ia sudah menjadi darah daging saya,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung MLM selesai.
Kata Didie, tumpuannya kini lebih kepada 3G kerana menyedari, saingan daripada peserta-peserta lain tidak kurang hebatnya.

Justeru, katanya, 3G memerlukan momentum terbaik kerana selain mahu menghiburkan peminat, biarlah persembahan 3G mendapat tempat di hati penonton dan para juri.

MLM dunia Enot

Seluruh tenaga dan minda Enot difokuskan kepada 3G walaupun dalam masa yang sama, pelakon comel ini menjalankan perniagaan keknya.
Kata Enot, apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon sekarang ini, masanya memang sesuai untuk tumpuan sepenuh masa kepada 3G.

“Menyertai MLM bersama Didie dan Yassin adalah suatu langkah yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.
“Apatah lagi beraksi dan bersaing dengan 16 peserta termasuk dari negara-negara jiran kita.

“Maka itulah, bagi saya mahupun dua lagi rakan dalam 3G, kami akan cuba untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya yang belum merasa puas menghiburkan penonton MLM.

Kata Enot, walaupun kehadiran 3G dalam MLM sebagai peserta underdog namun mereka serius dalam memberikan persembahan pada minggu hadapan.

“3G akan mencari idea yang lebih bernas dengan lawak yang lebih bersahaja untuk penonton. Apabila penonton ketawa, itulah kejayaan bagi kami,” katanya.
Sumber-Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...