Pages

Subscribe:

Labels

21 Jun 2011

KL Gangster kutip RM 11 juta , dapat pujian Rais Yatim sebagai filem contoh !



Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, memuji kehebatan filem KL Gangster, yang kini melakar sejarah tersendiri dalam industri perfileman Melayu.

Beliau berkata, filem arahan pengarah muda, Syamsul Yusof, itu boleh dijadikan sebagai filem contoh dan sesuai untuk tontonan umum. Malah sesuai ditonton golongan remaja untuk dijadikan iktibar.

Setelah menonton sendiri KL Gangster, ia boleh dikatakan filem contoh dan nyata ia berjaya menarik banyak peminat yang tidak mahu terlepas menyaksikannya sendiri di pawagam,” katanya ketika ditemui pada Malam Penghargaan Industri Filem 2011.

Industri filem katanya kini nyata menunjukkan banyak perubahan ke arah positif dan semakin dimartabatkan melalui kemampuan penggiat seni tempatan menghasilkan karya lebih berkualiti.


Syamsul bangga kutipan cecah RM11 juta

Syamsul Yusof, meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan diberikan oleh Datuk Rais Yatim. Malah dia juga bersyukur apabila filemnya itu tidak dipandang negatif oleh penonton dan juga peminatnya sepanjang tempoh tayangan.

“KL Gangster penuh dengan mesej berguna kepada penonton dan mereka didedahkan dengan apa yang berlaku kepada masyarakat remaja masa kini.

“Malah saya juga tidak menjangkakan jumlah kutipan sebanyak ini, namun bersyukur sebab bukan keuntungan diutamakan, tetapi selera dan kehendak penonton yang diberi perhatian.

“Filem ini juga tiada unsur bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak kerana ia adalah hasil karya yang telah dibuat kajian dahulu sebelum memulakan sesi penggambaran,” katanya yang turut ditemui pada majlis itu.

Syamsul berkata, kejayaan tersebut adalah bukti jelas bahawa rakyat sebenarnya dahagakan karya anak Malaysia dan dia yakin mampu memberi 100 peratus sokongan pada industri perfileman tempatan.

Sementara itu, filem kelima arahannya itu kini berjaya mencapai kutipan RM11 juta sejak ditayangkan pada 9 Jun lalu. Berita itu dimaklumkan sendiri oleh pengarah ini menerusi laman sosial facebooknya.

““Kejayaan ini bukan kejayaanku dan warga kerja SKOP Production semata. Ini adalah kejayaan buat semua penggiat seni filem tanah air dan dalam masa sama kejayaan buat semua rakyat Malaysia” itulah bait-bait cukup bermakna Syamsul yang dipaparkan menerusi laman Facebooknya.

Melihat pada sambutan filem ini, maka tidak mustahil jumlah itu akan meningkat hingga RM12 juta. Satu angka melebihi dua kali ganda kutipan pernah diraih bapanya, Datuk Yusuf Haslam, yang mendapat gelaran ‘Six Milion Dollar Man’ menerusi filem Sembilu.


‘Galak lebih banyak filem’ - Datuk Sohaimi

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Finas, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata, berdasarkan rekod Finas setakat ini, KL Gangster berjaya meraih kutipan RM10.3 juta dan jumlah tersebut amatlah membanggakan dalam sejarah perfileman Melayu.

“Jumlah itu adalah fenomena baru dari pengarah baru seperti Syamsul Yusof. Malah ia memberi kesan positif terhadap pembangunan filem kita. Jika sebelum ini finas mensasarkan satu filem dalam satu minggu, kini ia sudah melebihi sasaran dan banyak filem menanti giliran.

“Saya berharap ia bukanlah sekadar musim dan kejayaan KL Gangster ini harus dijadikan ilham kepada semua karyawan di luar sana. Walaupun filem ini adalah hiburan ringan, namun ia mampu memberi mesej dan pengajaran berguna buat penonton, terutamanya remaja.

“Maka, setiap penerbit dan pengarah harus menghasilkan filem yang ada mesej. Walaupun KL Gangster ada aksi negatif, namun saya percaya ia tidak mempengaruhi penonton kerana penonton sekarang sudah bijak menilainya,” katanya turut kagum dengan kehebatan KL Gangster.

No comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...